PROGRAM YOUR VOICE, YOUR GREAT ‘SC’ (SOCIAL & COMMUNICATION)

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS Asrama Anak Yatim dan Asnaf Baitul Rahmaniah, Rasa Selangor

1.0 ANALISIS SOAL SELIDIK PENILAIAN
Perasaan
Berdasarkan kutipan refleksi yang ditulis oleh peserta yang
terlibat, majoriti besar berasa sangat gembira dan tiada seorang
peserta pun yang mempunyai perasaan negatif. Peserta
berasa gembira kerana menperoleh banyak input baru, dapat
bekerjasama dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara
satu sama lain. Selain itu, mereka juga mengatakan bahawa
mereka berasa gembira kerana dapat menyertai program yang
dianjurkan oleh fasilitator dan teruja mengenali ke semua
fasilitator yang terdiri daripada pelajar Universiti Pendidikan
Sultan Idris. Di samping itu, ada sebahagian besar peserta
meminta untuk mengadakan program seperti ini lagi pada masa
akan datang.

Perkara yang diperolehi

Berdasarkan penulisan refleksi peserta, antara perkara yang
diperolehi sepanjang menyertai program Your Voice Your Great
Social & Communication (YVYGSC), kebanyakan peserta
menyatakan bahawa mereka mendapat ilmu baru terutamanya
dalam meningkatkan kemahiran komunikasi sesama mereka
melalui aktiviti yang dijalankan sepanjang program. Menurut
mereka, walaupun mereka masing-masing tinggal di tempat yang
sama tetapi komunikasi antara mereka masih mempunyai jurang
kerana terdapat perbezaan umur dan ada pelajar baru dan pelajar
lama disitu. Melalui aktiviti yang dianjurkan dalam program ini
lebih banyak menggalakkan mereka untuk bekerjasama dan
saling bantu-membantu setiap ahli kumpulan tanpa mengira umur
dan jantina.

Seterusnya, interaksi sosial mereka juga dapat
dipertingkatkan lagi. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui
layanan yang diberikan oleh fasilitator telah memberikan
keyakinan kepada semua peserta untuk beramah mesra dan
bekerjasama antara satu sama lain walaupun sebelum ini mereka
berasa malu untuk berkomunikasi dengan masyarakat luar.

Ada juga menyatakan bahawa mereka tidak menyangka bahawa
walaupun aktiviti tersebut merupakan suatu permainan tetapi
dapat mengajarkan banyak pengalaman dan pengajaran kepada
mereka terutamanya dalam berinteraksi dengan masyarakat.

Selain daripada penulisan refleksi peserta, terdapat juga
beberapa komen positif daripada pihak pengusaha asrama
tersebut. Misalnya,pihak Baitul Rahmaniah sangat bersyukur dan
berterima kasih di atas penganjuran program ini yang lebih
mengetengahkan mengenai kemahiran komunikasi yang dapat
diaplikasikan dalam diri anak-anak yatim dan asnaf Baitul
Rahmaniah khususnya.

Semua anak-anak berasa gembira
dengan aktiviti yang dianjurkan serta segala perancangan yang
ditetapkan dapat dijalankan dengan lancar dan memberi manfaat
kepada ke semua peserta yang terlibat. Pihak Baitul Rahmaniah
juga sangat mengalu-alukan lagi dengan program komuniti seperti
ini pada masa akan datang.

2.0 LAPORAN PERMASALAHAN/ POSTMORTEM
Masalah atau cabaran yang dihadapi sepanjang menjalankan
program ini adalah mendapatkan dana program. Hal ini
demikian kerana kami hanya menyebarkan poster kutipan dana di
beberapa platform media sosial sahaja dan tidak meluas. Dana
yang diperlukan agak besar kerana pihak kami perlu menyewa
khemah sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti disebabkan
ruangan rumah anak yatim agak sempit dan kurang sesuai untuk
menjalankan aktiviti yang melibatkan banyak pergerakan.

Seterusnya, masalah lain adalah penyertaan peserta tidak
memenuhi sasaran. Pada hari program dijalankan, sebilangan
daripada anak-anak di Baitul Rahmaniah terlibat dengan kelas
tambahan dan aktiviti lain. Selain itu, kami mengalami cabaran
dalam mengawal tingkah laku peserta yang agak agresif dan
sensitif serta kurang aktiviti yang bersesuaian untuk semua
peringkat umur disebabkan oleh peserta terdiri daripada umur 4
hingga 16 tahun. Kami juga kurang pengalaman dalam
mengendalikan kanak-kanak kerana kurang pendedahan dengan
peringkat umur mereka.

3.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN
Cadangan penambahbaikan yang akan dilakukan adalah
mencari lebih banyak alternatif untuk mengumpulkan dana.
Sebelum ini, usaha hanya tertumpu pada pengedaran poster
kutipan dana sahaja tanpa melibatkan usaha lain. Oleh itu, antara
alternatif yang boleh dilakukan adalah berniaga, meminta
sumbangan secara bersemuka dengan orang awam, dan
lain-lain.

Dari segi pengawalan kanak-kanak, memberikan lebih banyak
ganjaran kepada peserta yang berkelakuan baik merupakan
antara cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan selepas
ini. Ganjaran tersebut dapat menggalakkan mereka untuk terus
fokus dalam aktiviti yang dianjurkan sepanjang program. Selain
itu, menetapkan hukuman (denda) juga dapat mengawal
peserta yang kurang memberi kerjasama, agresif, dan
sebagainya. Hal ini supaya dapat memastikan program berjalan
dengan lancar tanpa gangguan.

Seterusnya, meningkatkan lagi aktiviti menarik dan berkesan
untuk semua peringkat umur. Terdapat segelintir peserta yang
tidak mahu menyertai aktiviti kerana alasan tidak berupaya,
seperti tidak boleh meniup belon kerana semput. Situasi ini perlu
dititikberatkan supaya semua peserta dapat menyertai aktiviti
dengan selesa.

Di samping itu, memperbanyakkan lagi kemahiran dan
pengalaman dalam mengendalikan kanak-kanak juga antara
cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan selepas ini.
Kemahiran ini sangat penting kerana kanak-kanak lebih suka
apabila mendapat perhatian yang sesuai. Dengan adanya latihan
yang lebih intensif, fasilitator dapat mengenal pasti dan
menangani masalah dengan lebih efektif, serta menyesuaikan
pendekatan mereka mengikut keperluan setiap individu. Situasi ini
akan membantu meningkatkan kualiti interaksi dan memastikan
kanak-kanak merasa lebih selesa dan mahu terlibat dalam aktiviti.