INFO SULAM

Mengenai SULAM

LATAR BELAKANG SULAM

Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi), Lonjakan Pertama yang digariskan di bawah Inisiatif A1 adalah memantapkan kurikulum di mana IPT hendaklah menerima guna High-Impact Educational Practices (HIEPs) yang menggabungkan pembelajaran berasaskan pengalaman dan penyerapan keusahawanan ke dalam kurikulum.

Antara elemen yang diterapkan dalam HEIPs adalah Service / Community Based Learning (SBL).

SULAM merupakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan objektif pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti yang melibatkan pelajar berinteraksi dengan komuniti bagi menyelesaikan permasalahan setempat dengan menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang mereka pelajari di bilik kuliah.

Ia mempunyai nilai kredit dan jam pelaksanaan khidmat komuniti itu dikira dalam pengiraan jumlah jam pelajar belajar bagi kursus yang berkaitan.

Asas pelaksanaan aktiviti SULAM dalam komuniti adalah Kasih Sayang, Kebahagian dan Saling Menghormati (Love, Happiness and Mutual Respect).

 

OBJEKTIF SULAM 

1. Meningkatkan pembelajaran pelajar dengan menghubungkaitkan teori dengan praktis di dunia sebenar.

2. Meningkatkan sahsiah, kemahiran sivik dan kewarganegaraan di kalangan pelajar.

3. Memenuhi keperluan komuniti melalui aktiviti kesukarelawanan dengan menggunakan ‘kepakaran’ pelajar mengikut disiplin.

4. Mewujudkan persekitaran kerjasama antara pelajar, tenaga pengajar dan komuniti.

5. Memberi peluang kepada agensi, syarikat korporat dan NGO memberi sumbangan komuniti melalui Corporate Social Responsibility (CSR).


LOGO SULAM

Merah : Kasih Sayang (Love)

Kuning : Kebahagiaan (Happiness)

Biru     : Saling Menghormati (Mutual Respect)

Gabungan tiga (3) warna merah, kuning dan biru yang digunakan dalam rekaan logo mewakili kombinasi tiga (3) elemen iaitu Komuniti, Pelajar dan Pensyarah

Di samping itu, tiga (3) simpulan reben menunjukkan kombinasi sifat keprihatinan dan lambang perhubungan kerjasama yang dibina antara komuniti, pelajar dan pensyarah melalui program SULAM.

 

CONTOH-CONTOH PROGRAM SULAM

Beberapa Universiti Awam (UA) telah melaksanakan SULAM, antaranya adalah:

1. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Program : Eko Warisan Pelancong Pulau Tanjung Surat

2. Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Program : Penuaian dan Penapisan Air Hujan Melalui Bumbung, Kg. Tagasan Jaya, Semporna, Sabah

3. Universiti Teknologi Mara Johor (UiTM)

Program : Cendawan Tiram untuk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Segamat

4. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

Program : Komuniti Budaya dan Etnik Bidayuh Borneo

5. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Program : Kesihatan dan Mobil Klinik Pergigian

 

KELEBIHAN DAN IMPAK SULAM

1. Pelajar boleh melihat bahawa ilmu pengetahuan ataupun teori yang mereka pelajari dalam bilik kuliah adalah relevan dan dapat diaplikasikan dalam permasalahan harian yang sebenar.

2. Meningkatkan rasa tanggungjawab sosial, hormat menghormati dan kemahiran kewarganegaraan pelajar seperti toleransi agama dan kaum

3. Membangunkan kemahiran abad ke-21 pelajar seperti kebolehan untuk bekerja dengan baik dengan orang lain, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, memimpin dan berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat.

4. Membantu pembangunan komuniti dengan limpahan ilmu dan teknologi terkini dari IPT.

5. Memberi peluang kepada komuniti untuk bekerjasama dengan pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi merancang aktiviti yang berstruktur dan mampan bagi meningkatkan sosio-ekonomi mereka.

6. IPT yang melaksanakan SULAM pula mampu meningkatkan kualiti graduan dengan memperkasakan pembangunan modal insan secara menyeluruh dan bersepadu serta membuka peluang IPT menyalurkan kepakaran dan teknologi bagi membangunkan masyarakat.

 

WAY-FORWARD SULAM

1. Menyuntik elemen SULAM dalam kurikulum program pengajian prasiswazah. Pihak IPT perlu membuat semakan terhadap kurikulum bagi memastikan terdapat elemen SULAM dalam kurikulum.

2. Membangunkan sistem sokongan SULAM melalui pembentukan jaringan SULAM-Net. Gabungan pelbagai IPT dalam pelaksanaan SULAM mampu membangun masyarakat dengan menghasilkan impak yang lebih berkesan dan menyeluruh.

3. Kerjasama IPT melalui jaringan SULAM-Net dapat menyelaraskan program SULAM di Malaysia agar keperluan sesuatu komuniti dapat dipenuhi secara lebih terancang dan tersusun. Jaringan ini boleh diperluaskan ke peringkat antarabangsa yang mampu meningkatkan lagi keupayaan dan keberkesanan SULAM.

4. Menggalakkan sumbangan dan kerjasama oleh pihak agensi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), syarikat-syarikat korporat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam pelaksanaan SULAM dengan lebih berkesan melalui jaringan ini.