PROGRAM STARVENGERS
Program StarVengers yang dijalankan pada 15 Disember 2024 bertempat di sekitar LRT Pasar Seni telah memberikan impak yang mendalam kepada para peserta, komuniti setempat, dan juga ahli kumpulan. Tiga aktiviti yang dilaksanakan, iaitu We Feel Together, Innerself Make-Up, dan Self-Care Bingo, berjaya mencapai objektif utama program iaitu memberi kesedaran tentang kesihatan mental, meningkatkan daya tahan emosi, dan memperkukuhkan hubungan antara komuniti.
Aktiviti pertama, We Feel Together, telah membantu para peserta memahami dan mengenal pasti emosi mereka dengan lebih baik. Dengan penggunaan mounting board untuk memilih kategori emosi, peserta dapat melihat bahawa mereka tidak keseorangan dalam menghadapi cabaran emosi. Penulisan harapan pula memberi peluang kepada mereka untuk merenung dan menetapkan matlamat positif dalam kehidupan. Pemberian ‘kertas kata semangat' sebagai cenderamata turut meningkatkan penghargaan diri peserta terhadap emosi mereka.
Dalam aktiviti kedua, Innerself Make-Up, penerangan ringkas tetapi padat mengenai kesihatan mental dan ilmu psikologi membuka mata peserta tentang pentingnya menjaga kesejahteraan mental. Perkongsian pandangan bersama peserta mencetuskan perbincangan yang bermakna, membolehkan mereka menilai semula persepsi dan amalan mereka terhadap kesihatan mental. Ini membantu mengurangkan stigma yang sering dikaitkan dengan isu-isu mental dalam masyarakat.
Aktiviti ketiga, Self-Care Bingo, telah memberi impak besar dalam menyemai kesedaran awal tentang kepentingan penjagaan diri (self-care). Perbincangan santai tetapi bermakna mengenai cara-cara peserta menjaga diri mereka, seperti mengambil masa untuk berehat atau mengamalkan pemakanan sihat, telah memberi inspirasi kepada peserta lain untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat. Perkongsian pengalaman antara peserta juga mewujudkan rasa saling memahami dan menyokong antara komuniti.
Sebagai ahli kumpulan, pelaksanaan program ini memberikan pengalaman yang sangat berharga, terutama dalam mengurus cabaran seperti perubahan lokasi secara tiba-tiba. Kami belajar untuk menjadi fleksibel dan berinovasi dalam memastikan aktiviti yang dirancang tetap dapat dilaksanakan dengan jayanya. Selain itu, kami juga mengasah kemahiran komunikasi interpersonal apabila berinteraksi dengan peserta dan komuniti, serta memperkukuh kerjasama antara ahli kumpulan sepanjang program berlangsung.
Keseluruhannya, program StarVengers berjaya mencipta impak positif yang berpanjangan kepada peserta, dan juga kami sebagai penganjur. Melalui program ini, kesedaran terhadap kepentingan kesihatan mental telah ditingkatkan, stigma yang berkaitan telah dikurangkan, dan semangat kerjasama dalam kalangan komuniti diperkukuhkan. Program ini membuktikan bahawa usaha kecil seperti ini mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan masyarakat.
