PROGRAM PERKONGSIAN KOMUNITI - SATU BENIH, SATU HARAPAN; PEMBUATAN BAJA KOMPOS; BUMI MINI ANDA, BENGKEL MENCIPTA TERRARIUM; HIDROPONIK PERTANIAN MASA DEPAN; DAN JOM TANAM POKOK

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS Komuniti Muallim

Sebelum pelaksanaan projek perkongsian komuniti oleh pelajar Semester 2 Kursus Pengembangan Luar Bandar dan Pertanian Bandar, tahap kesedaran komuniti murid tadika dan pelajar sekolah menengah mengenai amalan pertanian moden seperti sistem hidroponik, pembuatan baja kompos, reka bentuk mini terarium, serta teknik memindah tanaman masih berada pada tahap yang rendah. Kebanyakan mereka tidak mempunyai pendedahan langsung tentang kepentingan pertanian bandar dan kaedah penanaman yang mampan, menyebabkan kurangnya minat dalam aktiviti berkaitan pertanian. Selain itu, sikap tidak peduli terhadap pengurusan sisa organik dan potensi penanaman di ruang terhad juga menjadi halangan dalam memupuk kesedaran alam sekitar.

Selepas pelaksanaan projek ini, terdapat peningkatan yang ketara dalam pemahaman dan minat komuniti sasaran terhadap aktiviti pertanian bandar. Murid tadika menunjukkan semangat yang tinggi apabila terlibat secara langsung dalam memindahkan tanaman ke dalam pasu, yang bukan sahaja meningkatkan kemahiran motor halus mereka tetapi juga menanamkan nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar. Manakala, pelajar sekolah menengah lebih terdedah kepada teknologi hidroponik dan pembuatan baja kompos, yang seterusnya mendorong mereka untuk mengaplikasikan pengetahuan ini di rumah atau di sekolah. Projek ini juga berjaya mewujudkan kerjasama yang erat antara pelajar universiti dengan komuniti setempat, di mana perkongsian ilmu dan kemahiran telah membentuk sikap lebih proaktif dalam kalangan peserta terhadap isu-isu pertanian dan kelestarian. Secara keseluruhan, projek ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran malah turut membina asas pengetahuan praktikal yang boleh dikembangkan pada masa hadapan.