MATH VENTURE : CODE & PLAY
Menurut Tok Lim Abdul Rahman, selaku Tok Batin Kampung Lama Orang Asli Leboh, program SULAM yang dijalankan telah meningkatkan kesedaran penduduk kampung terhadap kepentingan pengurusan sisa pepejal yang betul demi menjaga kesihatan dan kelestarian alam sekitar. Sebelum ini, penduduk kampung tidak mengasingkan sisa pepejal, di mana bahan-bahan yang boleh dikitar semula seperti plastik, kertas, kadbod, dan tin minuman dicampur bersama sisa makanan sebelum dilupuskan. Namun kini, mereka telah menyedari kepentingan pengasingan sisa boleh dikitar semula. Melalui aplikasi KITARecycle, penduduk bukan sahaja dapat mengasingkan sisa dengan lebih sistematik, malah turut memperoleh mata ganjaran dan bayaran bagi bahan yang dikitar semula. Sisa makanan pula dimanfaatkan sebagai kompos untuk tanaman mereka. Selain itu, pembentangan pelajar mengenai produk yang boleh dihasilkan daripada sisa pepejal telah menarik minat penduduk kampung serta memberi inspirasi kepada mereka untuk mencipta produk kitar semula yang berpotensi untuk dijual. Melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti lapangan, pelajar berpeluang mengaplikasikan pengetahuan akademik dalam situasi sebenar, sekali gus meningkatkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerjasama, kepimpinan dan kepekaan sosial. Program SULAM ini juga telah memupuk rasa tanggungjawab di dalam diri pelajar terhadap kelestarian alam sekitar serta kesedaran terhadap kepentingan pengurusan sisa yang lestari dalam komuniti luar bandar. Di samping itu, pengalaman berinteraksi dengan masyarakat Orang Asli memberikan pelajar perspektif baharu tentang cabaran dan keperluan komuniti marginal, yang dapat memperkukuh semangat kesukarelawanan dan empati mereka. Program ini juga memberi ilmu yang bermanfaat kepada semua dan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup serta memperkukuh hubungan antara masyarakat Orang Asli dan pihak luar.
